KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan semalam, menawarkan biasiswa penuh kepada Pelajar Cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2008, Nik Nur Madihah Nik Mohd Kamal,18, bagi membiayai pengajian di dalam atau luar negara.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah, Mohd Amar Nik Abdullah, berkata berdasarkan keputusan Mesyuarat Exco Kerajaan Kelantan semalam, tawaran itu terhad untuk pengajian di mana-mana universiti tempatan atau di Asia Barat saja.
"Nilai biasiswa yang ditawarkan adalah mengikut keperluan pengajian yang dipilihnya. Kita tidak membuat sebarang desakan, terpulang kepada beliau untuk menerima atau tidak tawaran ini.
"Beliau bebas memilih tajaan yang ditawarkan kepadanya. Selain tawaran biasiswa ini, sebelum ini, Kerajaan Negeri sudah menghulurkan banyak bantuan kepada Nik Nur Madihah dan keluarganya seperti pembinaan kediaman serta sumbangan komputer," katanya selepas menghadiri mesyuarat Exco yang dipengerusikan Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di Kota Darul Naim, semalam.
Sejak muncul pelajar cemerlang dengan merekodkan keputusan 20A dalam SPM 2008, sebelum ini, Nik Nur Madihah turut menerima tawaran biasiswa daripada Majlis Amanah Rakyat (Mara), Bank Negara Malaysia (BNM) dan Petronas. Namun, sehingga kini, bekas pelajar Maahad Muhammadi Perempuan itu masih menimbang semua tawaran yang diterimanya.
Selain empat tawaran biasiswa yang diterima setakat ini, kecemerlangan Nik Nur Madihah dalam peperiksaan itu turut menerima tajaan mengerjakan umrah bersama ibubapanya di bawah pembiayaan sepenuhnya, syarikat Hijjaz Trade Corporation Sdn Bhd.
Sementara itu, Mohd Amar berkata, kerajaan negeri juga setuju untuk memberi ganjaran kepada semua pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang dalam SPM, Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).
"Kerajaan bersetuju untuk memberi ganjaran RM500 seorang kepada pelajar cemerlang dalam semua peperiksaan terbabit. Seramai 738 pelajar cemerlang dari sekolah di bawah Kementerian Pelajaran dan Yayasan Islam Kelantan layak menerima ganjaran ini.
"Mereka yang layak mendapat ganjaran ini terdiri yang mencatatkan keputusan sekurang-kurangnya 9A dalam SPM, empat prinsipal A dalam STPM atau keputusan Mumtaz dalam STAM. Sumbangan ini adalah sebagai penghargaan kepada mereka," katanya.
Sumber: Berita Harian
Tarikh: 26/2/09
Timur: Sidang DUN Kelantan: Kelantan bebas sampah 2010
Oleh Khairul Anuar Abd Samad dan Haspaizi Mohd Zain
This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.
KOTA BHARU: Kerajaan negeri yakin Kelantan mampu bebas sampah sepenuhnya pada 2010, menerusi pelbagai usaha yang dijalankan secara agresif sepanjang tahun ini bagi mencapai matlamat itu.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Takiyuddin Hassan, berkata 2009 diisytiharkan sebagai Tahun Membasmi Sampah oleh kerajaan negeri dengan lima penekanan bagi memastikan Kelantan bersih menjelang tahun depan.
Lima penekanan itu merangkumi usaha menambah jentera pengangkut sampah serta pelbagai jentera berkaitan dengan kos RM5 juta. Selain itu, operasi kutipan sampah dijadualkan semula dengan pengutipan bukan saja dilakukan pada siang tetapi juga sebelah malam.
"Langkah lain ialah memperkenalkan zon bersih sampah dengan Seksyen 12 Kota Bharu dijadikan model kawasan terbersih di Kelantan serta mengadakan gotong royong kebersihan membabitkan semua pihak.
"Selain itu, kita memperkasakan undang-undang sedia ada dengan mula mengenakan denda RM500 sehingga RM1,000 bagi kes tidak menjaga kebersihan," katanya
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan dikemukakan Adhan Kechik (BN-Bukit Bunga) pada hari kedua Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di sini semalam Takiyuddin berkata, MPKB sudah menetapkan waktu khusus yang dibenarkan kepada penduduk sekitar jalan utama bandar ini, bagi tujuan membuang sampah.
"Mereka kini hanya dibenarkan membuang sampah adalah sekitar jam 7 petang hingga 9 malam dan mereka yang membuang sampah lebih awal daripada waktu itu boleh dikenakan tindakan".
Perkara ini sudah pun dikuatkuasakan sejak awal bulan ini dan sesiapa yang melanggar peraturan ditetapkan ini, boleh dikenakan denda antara RM500 sehingga RM1,000
Malah MPKB sudah mengeluarkan saman terhadap mereka yang melanggar peraturan terbabit. Ini adalah bagi memastikan pemandangan di sekitar bandar Kota Bharu bebas daripada sampah," katanya.
Takiyuddin berkata, pusat pelupusan sampah dekat Sabak juga, akan digantikan dengan lokasi baru yang sudah dikenal pasti membabitkan kos pembangunan kira-kira RM100 juta.
Sumber: Sinar Harian
Tarikh: 16/7/14
KOTA KUBANG LABU- Penutup longkang yang pecah di bahu jalan hadapan sebuah kedai runcit di pintu masuk ke Taman Mimi telah pun dibaiki sekaligus memberi keselesaan kepada orang ramai di sini.
Penduduk,Rosni Kadir,30,berkata,dia tidak perlu lagi risau keselamatannya apabila penutup longkang berkenaan sudah dibaiki oleh pihak berkuasa tempatan(PBT).
"Setiap kali singgah di kedai ini,saya risau betul terutama ketika bawa anak-anak,khuatir mereka terjatuh.
"Tetapi sekarang ini masalah ini selesai dan ia memberi keselesaan kepada penduduk di sini,"katanya.
Sebelum ini,Sinar Harian melaporkan penutup longkang pecah dan mengundang bahaya kepada orang ramai.
Sumber: Sinar Harian
Tarikh: 12/8/14
TUMPAT – Pengunjung Pasar Besar Tumpat diminta meletakkan kenderaan masing-masing di kawasan parkir yang telah ditetapkan bagi mngelakkan kesesakan lalu lintas.
Pengguna jalan raya,Faridah Jenal,45 berkata,terdapat sesetengah pengunjung pasar itu bersikap sambil lewa dengan meletakkan kenderaan mereka di bahu jalan bersebelahan pasar.
"Sikap seumpama itu boleh menyebabkan berlaku kesesakan lalu lintas kerana orang ramai sedia maklum bahawa kawasan ini sempit dan sehala.
"Mungkin kedudukan kawasan parkir agak jauh daripada pasar atau kurang menyebabkan pengunjung meletak kenderaan di bahu jalan.Akhirnya keadaan ini mendatangkan masalah kepada pihak lain,"katanya.
Sinar Harian | 21 Mei 2016