Makam Tok Janggut
Tok Janggut @ Haji Mat Hassan bin Munas dilahirkan pada tahun 1853, seorang pahlawan melayu yang menentang campurtangan British di Negeri Kelantan pada tahun 1909. Pertempuran pada 24 Mei 1915, Tok Janggut terbunuh dan jenazah beliau dibawa dan dikebumikan berhampiran Sungai Kelantan yang kini dikenali sebagai Kampung Tok Janggut, Pasir Pekan.
Selepas Perjanjian Bangkok 1909, British mula membawa pelbagai perubahan khususnya dari segi pentadbiran. Perubahan yang diperkenalkan telah menyentuh kedudukan dan keistimewaan pemimpin tradisional di negeri Kelantan. Antara yang paling sensitif ialah mengenai pengenaan cukai kepala RM 1.00 seorang setahun, pokok buah-buahan 3 sen setahun, kelapa 3 sen setandan dan sireh 5 sen sejunjung.
Kekacauan timbul di Jeram, Pasir Puteh pada 29 April 1915 dikenali dengan "musuh Tok Janggut". Engku Besar tidak lagi berkuasa kerana diambil alih oleh Pegawai Jajahan yang dilantik oleh British. Keadaan menjadi bertambah buruk apabila Encik Latiff, Pegawai Jajahan yang baru adalah "orang luar" menjalankan tugasnya dengan tegas khususnya di dalam hal kutipan cukai.
Engku Besar membuat perundingan dengan Haji Mat Hassan bin Munas (Tok Janggut), Haji Said, Che Sahak dan Penghulu Adam, dimana keputusan untuk tidak bekerjasama dengan Kerajaan British dicapai. Tok Janggut bersama-sama rakan-rakannya mendapat sokongan sebilangan besar rakyat, dan ini membimbangkan Encik Latiff. Pada 29 April 1915, satu pasukan polis diketuai oleh Sarjan Che Wan bertolak ke Kampung Tok Akib dan menemui Tok janggut. Pergaduhan kecil berlaku di mana Sarjan Che Wan telah terbunuh. Arahan menangkap Tok Janggut dibuat oleh Encik Latiff. Tok Janggut kemudiannya menghimpunkan orang-orangnya menuju ke Pasir Puteh. Encik Latiff pula telah melarikan diri ke Kota Bharu.
Perintah menangkap Tok Janggut dikeluarkan. Bantuan tentera dari Singapura dan Negeri Melayu Bersekutu tiba, dan pada 6 Mei 1915 berlepas ke Pasir Puteh. Serangan ke atas Tok Janggut dilancarkan pada 25 Mei 1915 di Kampung Merbuk dan Kampung Pupuh. Di Kampung Pupuh lah Tok Janggut terbunuh dan mayatnya dibawa ke Kota Bharu. Setelah digantung beberapa hari, di Padang Bank (Padang Merdeka) mayatnya dikebumikan di Pasir Pekan.