Suluk Tok Selehor
Merupakan tempat beribadah atau pertapaan seorang Wali yang digelar Tok Selehor atau nama sebenarnya Abd. Rahman bin Othman. Lokasi perletakannya adalah di Tanah Perkuburan Kok Pasir yang dibuat seperti lubang kubur dimana saiznya hampir sama dengan kubur yang dibina untuk beribadat kepada Allah S.W.T.
Pondok ini didirikan pada penghujung abad ke 19. Beliau juga telah mendirikan sebuah madrasah untuk mengajar murid-muridnya. Tok Selehor seorang yang zuhud dan warak, beliau bimbang hatinya menjadi angkuh dan riak. Oleh itu, beliau membuat suatu lubang khas di antara perkuburan Kampung Selehor (berhampiran madrasah) untuk tempat "SULUK" agar beliau sentiasa ingatkan mati. Tempat tersebut masih kekal hingga ke hari ini.
Kini madrasah yang pernah beliau jadikan tempat mengajar ini telah dinaikkan taraf menjadi masjid dan kini dikenali dengan nama Masjid Tok Selehor.