Anda Ada Pertanyaan? Klik Sini
Pemakluman Penguatkuasaan Penutupan Gerai Atau Penjaja Tepi jalan, Penjaja Beredar Dan Seumpamanya Di Negeri Kelantan
MAJLIS DAERAH TUMPAT
PEMAKLUMAN PENGUATKUASAAN PENUTUPAN GERAI ATAU PENJAJA TEPI JALAN, PENJAJA BEREDAR DAN SEUMPAMANYA DI NEGERI KELANTAN
Dukacita dimaklumkan bahawa pada masa ini, keadaan pandemik COVID-19 di Kelantan adalah semakin meningkat tinggi. Kes positif harian tidak menunjukkan tanda-tanda penurunan dan kemudahan kesihatan juga semakin tidak mencukupi dan kritikal. Katil di hospital-hospital COVID-19, hospital hibrid dan Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) berisiko rendah juga telah hampir penuh seratus peratus bahkan ada yang melebihi seratus peratus. Hampir setiap hari wujudnya kluster-kluster baru samada kluster komuniti atau kluster tempat kerja sehinggakan tiga kampung di Mukim Bunut Susu, Pasir Mas iaitu Kampung Paya Ular, Kampung Tualang dan Kampung Bechah Palas terpaksa dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama 14 hari ekoran daripada penularan COVID-19 yang semakin cepat. Kadar kematian akibat COVID-19 di negeri Kelantan juga semakin hari semakin meningkat sehingga pada masa ini sudah melebihi bilangan 50 orang dengan purata kematian lebih kurang 4 orang sehari. Mereka yang dikenakan Home Isolation Order dan Person Under Surveillence pula masing-masing melebihi jumlah 2,000 orang dan 4,000 orang dengan jumlah kes keseluruhan di Kelantan melebihi 16,000 orang. Jumlah ini dikhuatiri akan semakin bertambah dari hari ke hari sekiranya langkah-langkah yang lebih drastik tidak diberikan perhatian utama memandangkan kepada tahap kadar kebolehjangkitan di Negeri Kelantan masih lagi tinggi pada tahap yang sangat membimbangkan.
Memandangkan kepada keadaan yang penuh risiko ini, Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri Kelantan terpaksa mencari pendekatan segera untuk mengelakkan perkumpulan orang ramai di satu-satu tempat yang merupakan penyebab utama perebakan virus COVID-19. Antara aktiviti yang dikenal pasti menarik perkumpulan sedemikian pada masa ini adalah gerai atau penjaja tepi jalan, penjaja beredar dan seumpamanya yang dilihat tidak mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Oleh kerana itu, demi menjaga kelangsungan kesihatan masyarakat dan sebagai salah satu usaha untuk mengekang jangkitan COVID-19, maka dibawah kuasa yang diberikan di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976 [Akta 171] semua Gerai Atau Penjaja Tepi Jalan, Penjaja Beredar Dan Seumpamanya ditutup bermula pada 27 Ramadhan 1442H bersamaan dengan 9 Mei 2021. Para peniaga dan masyarakat diminta mematuhi arahan ini bagi mengelakkan tindakan diambil di bawah peraturan yang berkuat kuasa dari semasa ke semasa.
Bersama-samalah kita berdoa semoga Allah Subhanahu Wataala segera mengangkat ujian pandemik COVID-19 ini dari terus meningkat di Negeri Kelantan khususnya dan Malaysia amnya agar kita dapat menjalani kehidupan seperti biasa.
YANG DIPERTUA
MAJLIS DAERAH TUMPAT
26 Ramadhan 1442H bersamaan dengan 8 Mei 2021