DITUTUP ANGKARA SAMPAH BERSELERAK (SINAR HARIAN)
Ditutup angkara sampah berselerak
21 Mei 2016
Aktiviti gotong-royong dilaksanakan pelajar dan NGO untuk membersihkan kawasan pesisir pantai Sri Tujoh.
TUMPAT - Kawasan pesisir pantai Sri Tujoh (milik persendirian) ditutup untuk aktiviti berkelah dan berniaga berikutan kawasan itu sering menjadi sasaran pengunjung membuang sampah merata-rata.
Yang Dipertua Majlis Daerah Tumpat (MDT), Rosnazli Amin berkata, pihaknya dipersalahkan setiap kali kawasan itu tercemar dengan sampah-sarap, sedangkan kawasan itu di luar bidang kuasa MDT kerana milik persendirian.
“Ia milik orang perseorangan, bukan di bawah tanggungjawab MDT. Bila sampah merata tempat, banyak pihak menghentam MDT, kata tidak cakna menjaga kawasan pantai Sri Tujoh.
"Tersebar di laman sosial dan semua menuding jari kepada MDT, padahal pelaku sebenar adalah pengunjung yang tidak tahu menjaga kebersihan,” katanya.
Menurut Rosnazli, bagi menangani masalah pencemaran, pihaknya turut menyediakan tong sampah di pesisir pantai berkenaan.
Bagaimanapun katanya, tong sampah itu ibarat sekadar dijadikan perhiasan apabila pengunjung tetap membuang sampah di merata tempat.
“Selain tong sampah, pekerja MDT turut menjalankan kerja pembersihan, tetapi hanya bertahan satu hari. Keesokannya, sampah-sarap dibuang merata-rata semula,” katanya.
Katanya lagi, selain MDT, NGO dan pelajar turut bergotong-royong membersihkan kawasan persisiran pantai selepas 'viral' dakwaan mengatakan pantai berkenaan tercemar.
“Sikap pengunjung bagaikan tidak menghargai penat lelah mereka yang secara sukarela membersihkan kawasan pantai ini. Kalau semua ambil berat dalam menjaga kebersihan, pantai ini akan terjaga,” katanya.
Sementara itu, hanya kawasan tanah persendirian lokasi perkelahan yang ditutup, manakala kawasan rekreasi di pantai Sri Tujoh di bawah kelolaan MDT seperti taman tema air, chalet dan permainan di lagun masih beroperasi seperti biasa.